+ bab 24 +
pergaduhan
Selepas waktu persekolahan tamat, Azzam pulang ke rumah dengan berjalan kaki. Dia ingin melihat keadaan Jihan dan Wawa. Terutama sekali Jihan.
Dia mula rasa bersalah walaupun hanya sehari dia berkelakuan diingin dengan mereka. Azzam bersembunyi apabila melihat kelibat Jihan dan Wawa. Azzam melihat ke arah Jihan. Maafkan aku. Desisnya di dalam hati.
“Wawa, kau sedar tak yang Azzam macam bersikap diingin dengan kita. Dia macam tak layan kita macam dulu.”
Wawa membisu. Dia tahu Jihan mula risau. Dia sendiri tidak tahu apa yang terjadi.
“Mungkin dia ada masalah tadi. Esok dia baiklah tu.” Pujuk Wawa. Jihan hanya mendiamkan diri sambil bermain dengan rantainya.
*****
“Cepat. Dapatkan pembelot tu. Berani dia membelot dengan kumpulan ini. Dia tak tahu siapa aku.” Marah Crow.
“Nak bawa Peacock ke sini hidup atau mati, tuan?” Tanya Owl.
“Aku tak kisah. Hidup atau mati.” Crow mencampak gelas ke lantai sehingga pecah.
“Baik, tuan.”
“Kau akan menyesal kerana berbuat begitu, Tini.” Crow tersenyum sinis.
*****
Azzam keluar dari bilik air selepas selesai menunaikan hajatnya. Dia berjalan ke arah meja tulis yang terletak di hadapan tingkap biliknya. Azzam teringat akan botol kecil berisi air yang diberikan oleh seorang nenek tua ketika di taman tema. Azzam mencari botol yang berisi air itu di dalam begnya. Azzam menjumpainya, tiba-tiba Mak Cik Rafidah masuk ke dalam bilik.
“Tuan, ada kawan datang. Dia sedang menunggu di ruang tamu.” Azzam hanya mengangguk sambil menyimpan botol tadi di dalam laci meja.
Azzam dengan pantas turun ke ruang tamu rumah. Tini sedang menunggu.
“Hai, Tini. Ada apa datang ke mari?” tanya Azzam. Tini mendiamkan diri. Dia kelihatan seperti baru lepas menangis. Di tepinya ada dua beg pakaian.
“Kenapa ni, Tini?” tanya Azzam lagi.
Tini tidak dapat menahan air matanya lagi. Azzam masih tidak faham apa yang terjadi.
“Azzam, organisasi dah tahu rancangan kita. Dia dah tahu yang aku membelot. Sekarang mereka sedang mencari aku.” Jelas Tini.
Azzam terdiam. Dia berjalan ke arah Tini. “Nah ambil ni. Ini sapu tangan yang kau bagi dekat aku dulu. Lap air mata kau.” Azzam menghulurkan sapu tangan kepada Tini sambil tersenyum.
“Aku tak tahu nak pergi mana.” Ujar Tini sambil mengelap air matanya.
“Aku takut.”
Azzam tesenyum. Kali pertama dia melihat Tini seperti itu. Selalunya dia yang paling tenang dalam apa jua keadaan. Pendiam dan tidak pernah menunjukkan kelemahannya.
“Apa kata kau tinggal dengan aku.” Azzam memberi idea. Tini terkejut.
“Lagipun rumah ni banyak bilik. Semua kosong. Awak boleh tinggal dekat sini.” Ujar Azzam.
“Boleh ke?” tanya Tini untuk kepastian.
“Tentulah. Lagipun ada Mak Cik Rafidah. Dia boleh tengokkan kau. Minggu depan mak dan ayah aku balik. Jadi mesti selamat. Lagipun, Aku tinggal sorang-sorang. Boringlah.” Ujar Azzam. Tini tersenyum.
“Terima kasih, Azzam.”
“Sama-sama.”
*****
Selepas tiga hari, perangai Azzam masih tidak berubah. Dia makin cuba menjauhkan diri dari Jihan. Jihan dan Wawa bertambah hairan. Soalan yang sama bermain difikiran mereka, apa sebenarnya yang terjadi kepada lelaki yang dulunya suka mengambil berat tentang mereka.
Azzam sedang menikmati makaroni sup di kantin sekolah semasa rehat. Jika dia ingin mengharapkan makanan lain yang ada di kantin, nampaknya kebulurlah dia. Sedang khusyuk menikmati makanannya, tiba-tiba dia ditegur Jihan.
“Makan tidak tengok belakang?”
Azzam berpaling. “Awak rupanya, Jihan.” Jihan tersenyum mendengar suara Azzam. selepas empat hari menunggu, akhirnya Azzam bercakap dengannya juga.
“Jarang saya tengok awak makan dekat kantin. Awak mahu lari, ya?” Jihan cuba memerangkap Azzam dengan soalannya.
Azzam terus bangun dari tempat duduknya sambil memegang bekas makanannya tadi. Dia sedar, yang tekaan Jihan memang tepat, namun dia berselindung di sebalik wajah selambanya.
Jihan dapat rasakan Azzam masih cuba untuk mengelakkan diri darinya. Jihan dengan pantas menarik lengan baju Azzam. Azzam melihat ke arah Jihan.
“Maaf, saya ada banyak hal nak kena uruskan.” Azzam cuba memberi alasan tetapi Jihan masih berdegil untuk melepaskannya.
“Tolong lepaskan?” minta Azzam. Jihan berdiri seperti patung.
“Tak nak. Saya tidak akan lepaskan selagi awak tidak beritahu apa masalah awak. Azzam, awak tahukan perangai awak dah mula berubah. Awak seperti tidak hiraukan saya dan Wawa seperti dulu lagi. Kenapa jadi macam ni?”
Azzam membisu. “Tolong beritahu saya, kalau saya ada salah dengan awak, tolong maafkan saya. Tapi jangan buat kami macam ini.” Jihan menggenggam kuat lengan baju Azzam.
Azzam tidak dapat menahan lagi. Jika terus begini, pasti keadaan akan kembali kepada asal. Jika dia tidak bertindak, pasti dia tidak dapat menolak Jihan lagi.
“Boleh tak kau lepaskan aku?” Azzam meninggikan suaranya.
“Kau nak tahu apa masalah aku sekarang. Masalah aku ialah engkau.” Ujar Azzam, marah. Dia menarik lengan bajunya dengan kasar. Jihan tersentak. Dia kelihatan terkejut.
Azzam berpusing mahu meninggalkan Jihan, namun dia tidak jadi melangkah, lalu berhenti. Dia tidak percaya yang bahawa dia bertindak seperti itu. Jihan melihat ke arah Azzam tanpa berkata apa-apa. Dia masih terkejut dengan keadaan tadi.
“Tolong ingat kembali apa yang saya katakan pada awak dulu. Awak akan dapat jawapannya.” Azzam terus melangkah pergi tanpa melihat muka Jihan. Meninggalkan Jihan tertanya-tanya akan kata-katanya tadi.
Tini, Syazwan dan Yuya hanya melihat dari semak samun yang tidak jauh dari kantin. Mereka juga terkejut melihat Azzam bertindak demikian. Tidak pernah lagi mereka melihat Azzam bersikap kasar terhadap orang lain, terutama sekali Jihan.
“Tak sangka dia sanggup berbuat begitu.” Ujar Syazwan sambil menghirup air milo.
“Itulah pengorbanan yang terpaksa dia lakukan.” Jelas Tini sambil melihat ke arah Jihan yang terduduk di atas kerusi di kantin.
Wawa berjalan menuju ke arah Azzam yang sedang duduk bersendirian di padang sekolah. Azzam kelihatan muram dan seperti risau akan sesuatu. Sambil itu, dia kelihatan seperti sedang memegang kapas di hidungnya.
Wawa bertekad untuk bertanya kepada Azzam hal yang sebenar. Kau cari pasal dengan Jihan, maknanya kau sedang mencari masalah dengan aku juga. Desis Wawa di dalam hatinya.
“Woi, Azzam.” panggil Wawa dengan kasar. Dia bertekad untuk tidak berlembut dengan Azzam.
Azzam berdiri menghadap Wawa. Dia segera menyimpan kapas tadi ke dalam poket seluarnya. Dia tahu apa yang menyebabkan Wawa berkasar dengannya, namun dia hanya berdiam sahaja. Lagi dia bersuara, selagi itulah Wawa mahukan kepastian.
Wawa kehairanan. Hidung Azzam kelihatan merah, namun dia tidak mengambil kisah. “Kenapa kau buat macam ni, ha? Apa salah Jihan?” tengking Wawa. Azzam hanya mendengar.
“Dia tanya kau elok-elokkan. Kenapa kau kena malukan dia di hadapan semua orang dekat kantin?” marah Wawa lagi.
“Suka hati kau lah nak kata apa. Siapa suruh dia menyibuk hal orang?” jawab Azzam.
Wawa melihat ke arah Azzam. Kalau ikutkan hatinya, mahu sahaja dia menampar lelaki yang berada di hadapannya itu.
“Bukan ke kau sukakan, Jihan? Bukan ke kau ialah cinta pertamanya sejak dari kecil? Kau dah berjanji dengan aku untuk meluahkan perasaan kau pada dia. Kenapa kau tiba-tiba berubah jadi macam ini?” tanya Wawa tanpa henti. Dia masih tidak percaya yang Azzam berubah tanpa sebab yang munasabah.
Azzam tersenyum sinis. “Oh, pasal tu. Tentang hal hari itu, kau jangan ambil serius sangat. Aku saja-saja je. Tentang cinta pertama dari kecil itu, aku saja-saja je reka. Tak sangka pula dia pernah menghadapi perkara macam tu. Kira pilihan aku tepatlah.”
“Dah lah. Lupakan perkara ni. Lagipun aku dah jumpa orang lain. Kira Jihan tak menjadilah. Dia tu lurus bendul sangat orangnya.” Ujar Azzam selamba. Namun Azzam kelihatan seperti menahan sesuatu. Mukanya berpeluh, tangannya menggeletar.
Wawa mula rasa tidak sedap hati, namun dia cuba tumpukan perhatian pada perbincangan mereka tadi.
“Kalau tiada apa-apa lagi, aku nak kena balik. Ada banyak hal lagi aku nak fikirkan selain dari budak itu.” Azzam berpaling, lalu melangkah pergi.
Wawa tidak dapat menahan lagi. Dia mengejar Azzam dari belakang. Sampai di belakang Azzam, dia segera menarik tangan lelaki tersebut lalu—
Azzam memegang pipinya. Wawa menjatuhkan tangannya. Bagi Azzam, serangan seperti itu senang baginya untuk mengelak, namun dia biarkan sahaja penampar Wawa mendarat di atas pipinya.
Wawa segera meninggalkan Azzam yang berdiri kaku seperti patung. Azzam masih memegang pipinya yang kemerah-merahan sambil tersenyum. Tiba-tiba, darah mengalir dari hidungnya, menitis ke lantai. Azzam segera mengambil kembali kapas yang ada di dalam poket seluarnya.
WWO masih cuba untuk menjejaki Tini melalui aku. Nampaknya, kena paksa mak dan ayah balik lebih awal. Azzam terus mengelap darahnya sambil teringat akan kejadian tadi. Itulah gunanya ada seorang kawan. Desisnya di dalam hati.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan