+ bab 27 +
Bilik rahsia
(bhg 2)
Azzam mengeram kesakitan sambil memegang pinggangnya kerana sakit. Dia terus bangun sambil mengibas-ngibas debu yang melekat pada seluarnya.
Keadaan ketika itu gelap gelita. Azzam tidak dapat melihat keadaan sekelilingnya. Baru sahaja mahu melangkah, tiba-tiba lampu terpasang dengan sendirinya.
Mata Azzam melilau-lilau melihat sekeliling. Yang berada di hadapannya sekarang ialah sebuah lorong. Azzam cuba mengecilkan matanya untuk melihat apa yang ada di penghujung lorong tersebut. Namun dia tidak dapat melihat dengan jelas.
Azzam melihat dinding yang ada di belakangnya. “Mungkin ini jalan aku masuk tadi.” Desis Azzam.
Dia cuba mencari suis untuk membuka dinding tersebut, tetapi dia berhenti. Lorong yang ada di hadapan menarik perhatiannya sebagai seorang detektif. Hatinya meronta-ronta untuk mengetahui apa yang ada di penghujung lorong tersebut.
Azzam dengan pantas berlari menerusi lorong tersebut. Dia tersenyum apabila terlihat penghujung lorong tersebut. Azzam segera berhenti memandang benda yang ada di hadapannya sekarang.
“Lukisan?” ujar Azzam, ringkas.
Azzam tersenyum. Dia dapat rasakan yang bahawa lukisan itu bukan lukisan yang biasa. Azzam meneliti lukisan tersebut dengan berhati-hati. Lukisan tersebut menunjukkan garis-garis tebal yang berwarna-warni. Azzam tidak dapat membezakan mana satu sambungan dan penghujung garisan tersebut.
Tiba-tiba ada sesuatu yang menarik perhatiannya.
“Lukisan ni—” Azzam memegang permukaan lukisan tersebut.
“Kenapa garisannya tidak bersambung dengan betul. Melainkan—” Azzam tersenyum. Dia segera menggerakkan setengah daripada lukisan tersebut ke sebelah kirinya.
Lukisan itu bercantum dengan elok. Tiba-tiba, sebelah kanan lukisan itu terbuka sedikit. Azzam tersenyum. Betul tekaannya tentang lukisan tersebut.
“Ni mesti pintu lukisan milik ayah.” Desis Azzam di dalam hatinya sambil tersenyum.
“Seperti tekaan aku. Ini ialah lukisan yang selalu digunakan dalam silap mata. Kalau sekilas pandang, nampak macam lukisan biasa. Tetapi kalau diteliti dengan betul, sebenarnya setengah daripada lukisan ini tidak bersambung dengan garisan yang betul. Kalau digerakkan, pintu akan terbuka dengan sendiri.” Ngomel Azzam seorang diri.
Azzam membuka pintu lukisan tersebut dengan berhati-hati. Dia melihat ke dalam ruang gelap di sebalik pintu tersebut. Dia tidak dapat melihat apa-apa selain kegelapan.
Tanpa berputus asa, Azzam terus melangkah masuk ke dalam. Dia meraba-raba di dinding untuk mencari suis lampu. Azzam segera menekan suis lampu yang dijumpainya. Cahaya lampu tersebut menerangi seluruh bilik.
Azzam melihat keadaan sekeliling. Bilik itu mempunyai peralatan yang lengkap. Peti sejuk dan meja makan ada di satu sisi. Terdapat juga sebuah rak meletak buku. Tetapi rak tersebut dipenuhi dengan fail-fail. Azzam tersenyum apabila melihat televisyen dan alat perakam DVD juga ada.
Azzam berjalan ke arah meja makan yang berbentuk bulat. Azzam segera mengambil sebuah bingkai gambar yang terletak di atas meja tersebut. Dia tersenyum melihat gambar ayah dan ibunya. Ada lagi satu pasangan yang tidak dikenali oleh Azzam. Azzam meletak gambar tersebut kembali ke tempatnya, lalu berjalan mengelilingi bilik tersebut.
Azzam melihat-lihat fail yang tersusun kemas di atas rak. Dia mengambil salah satu dari fail-fail tersebut. Dia terkejut apabila melihat isi fail tersebut yang mengandungi maklumat-maklumat tentang White Wing Organization iaitu lelaki berbaju putih.
“Tak mungkin! Semua maklumat ini lengkap.”
Azzam cuba melihat fail-fail yang lain. Semuanya mengandungi maklumat yang sama.
“Semua maklumat tentang mereka ada di sini. Tempat yang mereka selalu beroperasi juga ada.” Ujar Azzam makin teruja.
“Peluang aku untuk cari Mimi semakin cerah.” Azzam tersenyum gembira.
“Kenapa lah mak dan ayah tak bagi tahu tentang tempat yang penting macam ni?” rungut Azzam sambil mencari fail-fail yang lain.
Tiba-tiba ada sebuah pita rakaman terjatuh ke lantai. Azzam segera mengambil pita tersebut sambil meletak fail yang diambilnya ke atas meja tanpa membaca tajuk fail tersebut.
Azzam yang tertanya-tanya isi kandungan pita rakaman tersebut dengan pantas berjalan ke arah televisyen. Dia segera memasang pita rakaman tersebut. Azzam menekan butang main di alat kawalan jauh.
Pada mulanya, pita rakaman itu tidak menunjukkan apa-apa gambar. Azzam merasa hairan. Tiba-tiba gambar mula muncul dengan perlahan. Azzam bertambah hairan. Dia terus melihat ke arah skrin televisyen tersebut. Tiba-tiba gambar di skrin tersebut bergerak dengan pantas. Azzam terkejut. Dia tidak dapat mengalihkan matanya dari melihat ke arah skrin tersebut.
Azzam menahan sakit apabila merasakan ada sesuatu yang berbentuk serangan di fikirannya. Pandangannya tidak dapat lari dari skrin tersebut. Serangan tersebut sangat berkuasa. Azzam memegang dahinya yang berdenyut-denyut sambil mengetap bibirnya, menahan sakit yang tak terhingga.
Abang bertahan! Jerit Mimi. Dia bercakap dengan Azzam melalui fikirannya. Cuba menambah kekuatan Azzam. Azzam terus menjerit menahan sakit. Dia tidak faham apa yang sedang terjadi padanya sekarang.
Apa sebenarnya yang terjadi, Mimi? Jerit Azzam apabila gelombang yang baru menyelubungi fikirannya. Beberapa saat kemudian ia hilang, tapi hanya untuk digantikan dengan gelombang yang baru. Mimi bersungguh-sungguh untuk mengurangi kesakitan Azzam.
Abang, jangan cuba tahan gelombang tersebut. biar dia masuk ke fikiran abang. Ini untuk kebaikan abang. Saya dah cuba untuk kurangkan kesakitan abang.
Tapi kenapa ia masih sakit?
Sakit tu datang dari abang sendiri. Cuba lalui gelombang tersebut, abang akan faham.
Azzam cuba untuk memberi tumpuan pada gelombang yang ada di dalam fikirannya sekarang. Dia melihat ke arah skrin televisyen tersebut. Satu demi satu memori bermain di fikirannya. Dari mulanya WWO sehingga ketua-ketuanya yang terdahulu. Keluarganya dan ahli-ahli WWO yang lain.
Tiba-tiba dia ternampak seorang lelaki yang memakai jubah menutupi keseluruhan mukanya. Dia ternampak seorang wanita yang sedang memgang bayi di tangannya. Azzam seperti mengenali perempuan tersebut.
Azzam mula faham apa sebenarnya yang terjadi padanya sekarang. Semua maklumat-maklumat tentang WWO mula dipindahkan pada fikirannya. Dimasukkan dalam kotak memorinya.
Azzam mula letih. Seluruh badannya mula berpeluh. Badannya mula panas seperti orang yang terkena demam yang teruk.
Abang bertahan. Sudah hampir tamat. Jelas Mimi yang makin risau akan keadaan abangnya. Dia tidak pasti sama ada Azzam masih dapat bertahan atau tidak. Tiba-tiba gelombang itu perlahan-lahan hilang dari fikiran Azzam. Televisyen tersebut tertutup dengan sendiri.
Azzam melutut keletihan lalu jatuh ke lantai. Sepasang tangan menyambutnya di saat terakhir, lalu menurunkan badan Azzam dengan berhati-hati. Azzam terdengar suara sedang bercakap-cakap di belakangnya, tetapi dia terlalu letih untuk terus berjaga. Azzam terus tidak sedarkan diri kerana keletihan.
Fail yang terletak di atas meja tertutup ditiup angin. Fail yang bertajuk ‘Rahsia Cip’. Adakah ini bermakna sesuatu yang buruk akan terjadi?
Azzam membuka matanya dengan perlahan-lahan. Dia dapat rasakan seseorang sedang memegang tangannya. Azzam terus terjaga. Dia melihat keadaan sekeliling. Semuanya kelihatan putih. Tidak seperti biasa, Azzam tidak terkejut melihat bilik tersebut. Dia sudah tahu di mana dia berada sekarang.
Azzam cuba untuk bangun, tetapi dia terlalu letih. Seperti sudah tidak makan berhari-hari. Azzam memegang erat tangan gadis yang berada di sebelahnya itu. Mimi hanya tersenyum.
“Abang rehat dulu. Nanti Mimi terangkan apa yang terjadi.” Jelas Mimi sambil mengusap kepala abangnya. Azzam hanya tersenyum melihat adiknya itu.
Selepas beberapa minit berehat, Azzam terus menanyakan banyak soalan yang sedang bermain di fikirannya sekarang. Semua perkara yang dia sendiri tidak faham. Mimi cuba sedaya upaya menjawab soalan tersebut.
“Tadi abang telah aktifkan rahsia cip yang ada di dalam badan abang sekarang. Semua maklumat tentang WWO sekarang telah dipindahkan ke dalam memori abang. Tetapi untuk aktifkan cip ini, ia mesti bercampur dengan satu bahan yang hanya terdapat di makmal WWO. Macam mana abang boleh aktifkannya?” tanya Mimi yang sedang dalam kebingungan.
Azzam teringat akan botol kecil yang diberikan oleh seorang nenek ketika di taman tema. Azzam terus memberitahu Mimi tentang air tersebut. Mimi dan Azzam merasa hairan memikirkan siapakah gerangan nenek tersebut.
“Maknanya, selepas ini abang boleh cari Mimi, lah kan? Wah!” Azzam teruja bila memikirkannya.
“Tapi macam mana abang nak ingat pasal memori tadi balik?”
“Abang tak perlu susah payah cari memori tu dekat dalam fikiran abang. Ia dengan sendirinya akan bermain di fikiran abang apabila abang melihat sesuatu perkara yang ada kena mengena dengan WWO.” Jelas Mimi sambil duduk di sebelah abangnya.
“Lagi satu yang abang tak faham. Macam mana tadi dengan tiba-tiba Mimi boleh muncul dekat fikiran abang?”
“Selepas sahaja pertemuan kita semalam. Mimi dah cari jalan macam mana nak bercakap dengan abang tanpa tidur. Rupa-rupanya cip abang bersambung dengan cip milik Mimi. Abang cuma perlu tahu macam mana nak hubungi Mimi dengan cara memikirkan siapa yang abang nak bercakap. Selepas itu, dengan automatik dia akan bersambung. Baru tadi Mimi berjaya hubungi abang selepas sehari suntuk berlatih.” Jelas Mimi panjang lebar.
“Abang boleh hubungi fikiran orang lain juga ke?”
“Yang itu Mimi tak pasti.” Jawab Mimi teragak-agak.
“Tapi selepas ini, abang kena kerap berlatih menggunakan cip abang. Mimi akan bantu abang dengan mengajar benda yang Mimi tahu.”
Azzam terdiam sejak dari tadi. Nampaknya makin dia tahu tentang cip di dalam badannya, makin dia dapat rasakan dirinya dalam bahaya.
Azzam tiba-tiba merasa sakit di dadanya. Dia cuba menahan sakit. Mimi yang melihat merasa hairan.
“Kenapa, abang?” tanya Mimi.
“Dada abang. Rasa—sakit” Azzam memegang dadanya. Ada orang cuba kesan aku ke? Azzam tertanya-tanya.
Mimi terus memegang tangan abangnya sambil memegang belakang Azzam.
“Lebih baik abang sedar sekarang. Abang lebih senang ditumpaskan kalau abang terus tak sedarkan diri macam ni.” Jelas Mimi. Azzam hanya mengangguk lalu terus melelapkan matanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan