Script ini di sediakan oleh Famili Azam

02 Julai 2011

BAB 28: HOT & COLD - PENYIASAT BARU

+Setiap misteri akan dirungkaikan+

+ bab 28+
Penyiasat baru

Jihan mengelap peluh di dahi sambil tersenyum. Dia kelihatan berpuas hati melihat dapurnya yang bersih. Jihan makin gembira melihat keadaan rumahnya yang bersih. Dia terus terduduk di atas sofa kerana keletihan selepas sehari suntuk menghabiskan masa mengemas rumahnya.
          Rutin harian Jihan pada hujung minggu ialah mengemas rumahnya sehingga bersih. Kalau ingin mengharapkan ayahnya, tunggang terbaliklah rumahnya.
          Baru sahaja mahu menglelapkan matanya, tiba-tiba dia terdengar orang mengetuk pintu rumahnya. Jihan terus berlari ke arah pintu sambil menggosok-gosok matanya.
          Jihan terkejut apabila melihat siapa yang sedang berdiri di hadapan pintu rumahnya itu. Jejaka itu hanya tersenyum melihat Jihan yang terkejut.
          “Tak nak jemput masuk ke?” Jihan hanya tersenyum.
          “Lelaki mana boleh masuk rumah anak dara orang.” Balas Jihan. Lelaki tersebut ketawa. Jihan mencebikkan mukanya.
          “Hai Jihan.” Sapa lelaki tersebut sambil tersenyum.
          “Hai Raimy. Apa yang awak buat dekat sini?” tanya Jihan yang sejak tadi kehairanan.
          “Saya nak tanya awak sesuatu sekejap. Boleh tak?” tanya Raimy. Jihan hanya mengangguk.
          “Dekat sekolah awak ada seorang detektif muda, kan. Apa nama dia ye?” Raimy cuba mengingat kembali nama orang yang dimaksudkan olehnya.
          “Azzam.” cadang Jihan. Suaranya berubah seperti orang yang berada dalam kesedihan.
          “Betul. Nama dia Azzam. Saya nak minta tolong dengan awak bawa saya jumpa dia, boleh tak?”
          Jihan seperti teragak-agak bila hal yang berkaitan dengan Azzam. Dia melihat ke arah Raimy yang sejak dari tadi menunggu jawapannya.
          “Boleh atau tidak?” tanya Raimy.
          “Saya boleh bawa awak jumpa dia. Tapi kenapa awak nak cari dia. Awak kenal dia ke?”
           “Saya tak kenal dia pun. Tapi saya dengar dia terkenal dengan kes yang dia selesaikan. Jadi itu menarik perhatian saya sebagai seorang penyiasat.”
          “Seorang penyiasat. Awak pun detektif?” Jihan kehairanan. Raimy mengangguk.
          “Saya bantu ayah saya yang bekerja di jabatan polis. Ayah saya ketua polis di sana.” Jihan hanya mengangguk tanda faham.
          “Tapi kenapa awak nak jumpa dia?”
          “Saya nak lawan dengan dia. Saya nak tengok siapa yang paling hebat menyiasat.”
          Jihan yang sejak dari tadi kelihatan tidak senang duduk apabila bercakap tentang Azzam. Raimy dapat merasakan ada sesuatu yang berlaku antara mereka, tetapi dia biarkan sahaja.
          “Jom saya bawa awak pergi rumah dia.” ajak Jihan sambil memakai seliparnya. Raimy hanya mengangguk tanda setuju.
         

          Jihan hanya melihat ke arah pintu pagar rumah Azzam. Dia teragak-agak untuk terus melangkah. Dia menggenggam tangannya cuba untuk menenangkan fikirannya. Raimy sejak dari tadi hanya melihat tanpa berkata apa-apa.
          Jihan terus menekan loceng pagar tersebut. Dia sudah bertekad untuk tidak mengambil kisah lagi tentang Azzam. Dia ada di situ hanya untuk membantu Raimy.
          Mak Cik Rafidah segera berlari ke arah pintu pagar untuk melihat siapa yang datang berkunjung ke rumah tuannya itu. Jihan hanya tersenyum melihat perangai Mak Cik Rafidah yang tidak pernah berubah itu. Masih terburu-buru seperti biasa.
          “Assalamualaikum, mak cik.”
          “Waalaikumusalam. Jihan rupanya. Kenapa Jihan datang ke sini?”
          “Saya nak jumpa Azzam sekejap. Dia ada dekat rumah?” tanya Jihan. Dia mula rapat dengan pembantu rumah itu semasa dia menjaga Azzam sewaktu sakit dulu.
          “Maafkan mak cik, Jihan. Azzam tiada dekat rumah.”
          “Dia pergi mana, mak cik?” tanya Raimy yang sejak dari tadi hanya mendiamkan diri.
          “Kamu berdua tidak tahu ke?” tanya Mak Cik Rafidah. Jihan dan Raimy kelihatan bingung.
          “Tahu apa?” tanya Jihan, ringkas.
          “Tuan muda sekarang ada dekat hospital. Petang semalam tiba-tiba dia jatuh pengsan dekat bilik bacaan. Badan dia panas sangat. Mak cik dengan kawan-kawan dia cuba sedarkan Azzam, tapi dia tak bangun-bangun. Mak cik risau tengok keadaan dia macam tu. Kami cepat-cepat hantar dia dekat hospital.” Jelas Mak Cik Rafidah. Dari suaranya kedengaran dia sangat risau dengan keadaan Azzam.
          Jihan dan Raimy terkejut mendengar khabar tersebut, terutama sekali Jihan.
          “Macam mana dengan keadaan dia sekarang, mak cik?” tanya Raimy. Dia pasti yang Jihan juga mahu tahu tentang keadaan Azzam sekarang, tetapi tidak mahu menanyakan soalan tersebut atas sebab yang dia sendiri juga tidak tahu.
          “Sampai sekarang dia masih tidak sedarkan diri. Doktor cakap suhu badannya makin meningkat. Kadang-kadang dia meracau-racau seperti bermimpikan sesuatu yang buruk. Doktor juga tak faham apa yang berlaku.”
          Jihan semakin risau akan keadaan Azzam. Dia mula tertanya-tanya kenapa semua perkara ini berlaku selepas perubahan mendadak Azzam seminggu yang lepas.
Takkan ini sebabnya dia jauhkan diri dari aku. Tapi tak mungkin. Kenapa aku masih rasa ada sebab yang lebih besar dari ini.
Tiba-tiba Raimy menarik tangan Jihan sambil berlari. Jihan terkejut.
“Kita nak pergi mana ni?” tanya Jihan sambil cuba untuk melepaskan tangannya.
“Pergi jumpa Azzam.”
Jihan terkejut. Matanya mula berkaca. Dia hanya mengikut Raimy tanpa berkata apa-apa. Kenapa susah sangat aku nak lupakan semua ini.

*****

Azzam masih tidak sedarkan dirinya. Tini, Syazwan dan Yuya masih menunggu Azzam untuk sedarkan diri dengan penuh sabar. Mereka bertambah risau kerana sudah sehari suntuk mereka menunggu namun tidak ada sebarang perkembangan.
“Sebenarnya apa yang berlaku? Kenapa Azzam masih tak sedarkan diri?” tanya Syazwan yang mula gelisah melihat kawan karibnya yang masih terlantar di atas katil.
“Aku pun tak faham. Kenapa selepas dia masuk dalam bilik tu, dia terus pengsan. Apa yang sebenarnya yang berlaku?” Yuya melihat ke arah muka pucat Azzam. Tini mula risau.
“Kita cuma perlu tunggu lagi lima jam.” Tiba-tiba Tini bersuara.
“Lima jam? Untuk apa?” tanya Syazwan.
“Azzam telah aktifkan cip yang ada dekat dalam badan dia tanpa sengaja. Sekarang dia cuma perlu sesuaikan dirinya dengan kuasa hebat dari cip tersebut. Tapi—” Tini tidak sanggup untuk meneruskan ayatnya. Syazwan dan Yuya hairan.
“Tapi apa?” tanya Syazwan dan Yuya serentak.
“Tapi aku hairan kenapa masa yang diambil kali ini lebih dari lima belas jam. Aku takut kalau lagi lima jam dia tak bangun dan kalau selama waktu itu dia tidak sesuaikan diri dengan cip itu dia akan—”  Tini terdiam. Yuya dan Syazwan dapat rasakan apa yang cuba Tini sampaikan.
“Tak mungkin.” Syazwan dan Yuya seperti tidak percaya apa yang akan mereka hadapi kalau Azzam tidak bangun dalam masa lima jam lagi. Tini, Syazwan dan Yuya mendiamkan diri sambil memikirkan sesuatu.
“Aku percaya. Dia pasti dapat lakukannya. Dia bukan orang yang senang menyerah kalah dalam perkara yang dia mesti menang. Dia pasti akan berjaya.” Syazwan mengeluarkan kata-kata semangat. Dia pasti Azzam akan berjaya sebelum lima jam berakhir.

*****

Jihan dan Raimy terus berjalan ke arah wad di mana Azzam di letakkan. Raimy menanyakan nombor bilik Azzam kepada jururawat yang sedang bertugas di kaunter hadapan. Jihan sedang menunggu dengan penuh sabar. Dia kelihatan gementar untuk mengetahui keadaan sebenar Azzam.
Dadanya berkobar-kobar untuk berjumpa dengan Azzam setelah pergaduhan mereka sebelum ini. Azzam nak ke jumpa dengan aku?
“Terima kasih, Nurse.” Ucap Raimy bila berjaya mendapatkan nombor bilik Azzam. Jihan dan Raimy dengan pantas berlari di sepanjang koridor untuk ke bilik Azzam.

*****

Azzam masih tidak sedar dari tidurnya. Tini duduk di atas kerusi di sebelah katil Azzam sambil melihat ke arah Azzam. Terpancar kerisauan di wajahnya apabila melihat keadaan Azzam seperti itu.
“Kau masih boleh bertahan ke, Azzam?” Tini melihat ke arah jam tangannya. Sudah hampir pukul 2 petang. Tini semakin risau. Waktu semakin singkat.
“Hanya tinggal lagi 4 jam.” Ujar Tini sambil menggenggam tangan Azzam.
Sekarang giliran Tini untuk menjaga Azzam. Yuya dan Syazwan sudah balik untuk membersihkan diri mereka dahulu. Mereka sudah berjanji untuk menjaga Azzam dengan bergilir-gilir sehingga Azzam sedarkan diri. Tetapi sudah sehari suntuk, Azzam masih tidak bangun.
Demamnya masih tidak surut, namun makin menaik. Tini semakin bimbang jika apa yang dibayangkan selama ini menjadi kenyataan.
Tuk...tuk...tuk...
Tini terdengar bunyi ketukan pintu.
“Masuk.” Ujar Tini ringkas sambil menyelimutkan Azzam.
Tini menoleh ke belakang untuk melihat siapakah gerangan orang yang datang bertandang ke wad Azzam. Tini terkejut apabila melihat Jihan sedang berdiri di hadapannya bersama seorang lelaki.
Jihan juga terkejut apabila melihat Tini sedang menjaga Azzam seorang diri. Dia teringat satu berita yang diberitahu oleh Wawa padanya semalam. Jihan terkejut apabila dia mengetahui yang bahawa Azzam dan Tini tinggal serumah. Dia mahu menanyakan soalan kepada Tini untuk kepastian tetapi dia menyimpannya.
Raimy yang sejak dari tadi hanya memandang kedua-dua gadis tersebut. Dia tidak tahu peristiwa apa yang terjadi kepada mereka sehingga mereka kelihatan seperti bermusuhan tetapi dia pasti ia sesuatu yang buruk.
“Saya Raimy, apa khabar?” Raimy kenalkan dirinya pada Tini. Tini hanya tersenyum.
“Saya Tini.” Ujar Tini ringkas.
“Bagaimana dengan keadaan Azzam?” tanya Jihan yang sejak dari tadi hanya membisu.
“Keadaan dia tak berapa baik. Kalau dia berterusan begini, mungkin sesuatu yang buruk akan berlaku padanya.” Jelas Tini dengan nada yang menakutkan. Raimy kehairanan. Dia dapat rasakan sesuatu dari kata-kata Tini tadi.
Jihan melihat ke arah Azzam yang terbaring lemah di atas katil di sebelahnya. Ini kali kedua dia melihat Azzam seperti itu. Namun yang lain pada kali ini, bukan dia yang menjaga Azzam.
Raimy melihat ke arah muka pucat Azzam. Ini kali pertama dia bersemuka dengan seorang penyiasat muda selain dari dirinya sendiri.
“Aku datang ke sini untuk mencabar Azzam sebagai seorang detektif muda yang terkenal. Aku nak cabar dia di atas pentas yang penuh misteri.” Raimy tersenyum sinis.
“Jadi Azzam, kau mesti bangun dari katil ini dan terima cabaran aku. Kalau tak, aku akan rampas semua gelaran kau.” Raimy mendekatkan kepalanya ke telinga Azzam lalu membisik sesuatu. Selepas itu, dia tersenyum seorang diri.
Jihan dan Tini sejak dari tadi kehairanan. Mereka tertanya-tanya apa yang dibisikkan Raimy ke telinga Azzam.
Raimy yang sudah mengagak apa yang akan berlaku selepas ini hanya membuat muka selamba. Jihan dan Tini tahu yang Raimy tidak akan menjawab soalan mereka, jadi mereka hanya mendiamkan diri.
Yuya dan Syazwan segera masuk ke dalam bilik sambil membawa barang yang di beli mereka tadi.
“Hai Jihan. Dah lama sampai?” tanya Yuya.
“Tak lah. Baru sekejap tadi sampai.”
“Ini siapa?” tanya Syazwan sambil memandang ke arah Raimy.
“Kenalkan, ini Raimy. Kami baru sahaja berkawan. Dia datang ke sini untuk melawat Azzam.” Syazwan menjabat tangan Raimy.
“Awak kenal ke dengan Azzam?” tanya Yuya.
“Saya kenal dengan dia melalui berita. Ketika dia menyelesaikan kes di taman tema hari itu. Saya dapat tahu dia terkenal dia luar negara dan digelar penyelamat polis. Jadi saya datang ke sini untuk mencabar dia.”
Yuya dan Syazwan tertanya-tanya kenapa lelaki di hadapan mereka ini mahu mencabar Azzam. Tini hanya tersenyum.
“Sebenarnya Raimy ini juga seorang penyiasat di sekolahnya.” Jelas Tini. Yuya dan Syazwan mengangguk tanda faham.
“Macam mana awak boleh tahu saya juga seorang penyiasat di sekolah saya. Padahal saya tak bagi tahu awak tentang hal ini.” Raimy kehairanan. Sedangkan tadi dia hanya memperkenalkan namanya sahaja kepada Tini.
“Saya boleh agak bila awak bercakap tentang nak cabar Azzam sebagai seorang penyiasat. Dan bila awak cakap tentang nak merampas gelaran Azzam, dari situ juga saya boleh agak. Kalau orang biasa tak kan berani untuk mencabar seorang detektif muda yang terkenal seperti Azzam kecuali dia juga seorang detektif.” Jelas Tini. Raimy terpegun.
“Wah, Tini! Awak sama seperti Azzam. Pandai mengagak diri seseorang hanya dengan kata-katanya sahaja.” Puji Yuya. Syazwan hanya mengangguk tanda setuju.
Wah, seperti yang disangkakan, Tini dan Azzam memang sepadan untuk dijadikan rakan penyiasat. Desis Jihan di dalam hatinya.
“Tak sangka Azzam ada kawan seperti awak semua disekelilingnya. Dia sangat bertuah.” Puji Raimy. Tini dan lain-lain tersenyum bangga kecuali Jihan.
Aku tak layak untuk digelar kawan Azzam sejak dari hari itu lagi. Jihan teringat kejadian di kantin tempoh hari. Pergaduhan antara dia dan Azzam.
“Tolong bawa bertenang, encik.”
“Tak! Saya tak akan bertenang selagi awak tak bagi tahu saya mana pihak hospital sembunyikan dia.”
Tini dan yang lain-lain bergegas ke arah pergaduhan tersebut selepas terdengar bunyi orang membuat bising.
“Kami dah bagi tahu yang kami tak tahu apa-apa tentang anak encik.” Jawab seorang doktor sambil cuba melepaskan bajunya dari genggaman lelaki tersebut. Pengawal yang ada di situ turut membantu meleraikan pergaduhan tersebut.
“Apa yang berlaku ni?”
“Ha, tuan pengarah. Lelaki ini masih menanyakan soal anaknya.”
 Pengarah tersebut hanya tersenyum sinis. Raimy yang melihat merasakan sesuatu yang tersembunyi disebalik senyumannya itu.
“Dah berapa kali awak nak serang pekerja saya seperti ini? Tahu tak ini akan menyebabkan pesakit di sini terganggu.” Jelas pengarah tersebut.
Lelaki tersebut mengetap bibirnya, menahan geram.
“Apa sebenarnya yang berlaku ni?”
Semua mengalihkan pandangan ke arah suara tersebut. Raimy tersenyum.
“Wah, Inspektor. Apa yang inspektor buat dekat sini?” tanya Raimy.
“Awak kenal dia, Raimy?” tanya Jihan. Raimy mengangguk.
“Nama dia ialah Inspektor Izzul. Dia bekerja di jabatan polis terbesar di Malaysia. Dia ialah orang bawahan ayah saya. Dia baru berumur 28 tahun tapi dah banyak berjasa dalam bidangnya.” Jelas Raimy.
“Perlu ke awak cerita sampai ke umur saya, Raimy?” tanya Inspektor Izzul sambil menggaru kepalanya. Raimy dan yang lain-lain semua ketawa melihat gelagatnya.
“Apa sebenarnya yang terjadi. Kami terima laporan ada pergaduhan antara doktor dan orang luar.” Jelas Inspektor Izzul sambil membetulkan lengan bajunya.
“Sebenarnya tuan, pihak hospital telah menyembunyikan mayat anak saya sejak 3 tahun yang lepas.” Jelas lelaki yang sejak dari tadi membuat kacau di hospital.
“Mayat?” tanya mereka serentak.

WAHILA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan