Script ini di sediakan oleh Famili Azam

24 Jun 2011

Perumahan Putra Perdana, Puchong Tidak Terurus.

Taman Putra Perdana kini makin berkembang maju, jalan masuk mudah untuk pergerakan kenderaan. Nak ke tempat kerja di Putraja pun cepat. Banyak kemudahan.

Tetapi sayangnya tempat yang cantik tersebut tidak dijaga, contohnya di jalan Putra perdana 5f, rumah di kawasan tersebut tak diuruskan dengan baik oleh kontraktor yang dilantik.

Duit senggaraan dan duit Sinki Fund dah dibayar tetapi senggaraan tak dibuat. Sampah bertaburan di kaki lima. Lampu dilorong masuk ketangga rumah tak menyala. Wayar dah kena curi, laporan dah dibuat tetapi tiada tindakan.

Satu hal lagi, peniaga kedai runcit dengan mudahnya meletakkan barang di kaki lima, tempurung kelapa dibuat dilorong masuk rumah kedai. Apa punya manusia, mana perginya sifat tanggungjawab anda?

Rumah yang kosong pula banyak yang rosak dan dipecahkan oleh penyangak. Ada pula rakyat asing yang tumpang tinggal percuma, curi air dan letrik.

Diharap pihak berkuasa ambil tindakan, ronda la sama di kawasan kami. Banyak sangat yang tak betul.

22 Jun 2011

Hukum Berinai Dan Tatoo

zamri5004@yahoo.com (MOHD)Go to full article
“Berinai jari dibenarkan syarak pada hari perkahwinan. Namun jika berinai seperti dalam gambar (corak2) dan seumpama dengannya yakni seperti kaum Hindu tidak dibenarkan. Diriwayatkan dari Ibnu Umar bahwa Rasulullah s.a.w bersabda, ”Barangsiapa yang meniru suatu kaum maka dia termasuk dari mereka.” (HR. Abu Daud yang dishahihkan oleh Ibnu Hibban)

Tatoo, Kikir Gigi dan Operasi Kecantikan Hukumnya Haram. Mentatoo badan dan mengikir gigi adalah perbuatan yang dilaknat oleh Rasulullah s.a.w., seperti tersebut dalam hadisnya:

"Rasulullah s.a.w. melaknat perempuan yang mentatoo dan minta ditatoo, dan yang mengikir gigi dan yang minta dikikir giginya." (Riwayat Thabarani)
Tatoo, yaitu memberi tanda pada muka dan kedua tangan dengan warna biru dalam bentuk ukiran. Sebagian orang-orang Arab, khususnya kaum perempuan, mentatoo sebagian besar badannya. Bahkan sementara pengikut-pengikut agama membuatnya tatoo dalam bentuk persembahan dan lambang-lambang agama mereka, misalnya orang-orang Kristen melukis salib di tangan dan dada mereka.

Perbuatan-perbuatan yang rusak ini dilakukan dengan menyiksa dan menyakiti badan, yaitu dengan menusuk-nusukkan jarum pada badan orang yang ditatoo itu.Semua ini menyebabkan laknat, baik terhadap yang mentatoo ataupun orang yang minta ditatoo.Dan yang disebut mengikir gigi, yaitu merapikan dan memendekkan gigi. Biasanya dilakukan oleh perempuan. Kerana itu Rasulullah melaknat perempuan-perempuan yang mengerjakan perbuatan ini (tukang kikir) dan minta supaya dikikir.

Kalau ada laki-laki yang berbuat demikian, maka dia akan lebih berhak mendapat laknat. Termasuk diharamkan seperti halnya mengikir gigi, yaitu menjarangkan gigi. Dalam hal ini Rasulullah pernah melaknatnya, yaitu seperti tersebut dalam hadisnya:

"Dilaknat perempuan-perempuan yang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik, yang mengubah ciptaan Allah." (Riwayat Bukhari dan Muslim) Yang disebut al-Falaj, yaitu meletakkan sesuatu di sela-sela gigi, supaya nampak agak sedikit jarang. Di antara perempuan memang ada yang oleh Allah dicipta demikian, tetapi ada juga yang tidak begitu. Kemudian dia meletakkan sesuatu di celah-celah gigi yang berhimpitan itu, supaya giginya menjadi jarang. Perbuatan ini dianggap mengelabui orang lain dan berlebih-lebihan dalam berhias yang samasekali bertentangan dengan jiwa Islam yang sebenarnya.

Dari hadis-hadis yang telah kita sebutkan di atas, maka kita dapat mengetahui tentang hukum operasi kecantikan seperti yang terkenal sekarang kerana perputaran kebudayaan badan dan syahwat, yakni kebudayaan Barat materialistis, sehingga banyak sekali perempuan dan laki-laki yang mengorbankan wangnya beratus bahkan beribu-ribu untuk mengubah bentuk hidung, payudara atau yang lain. Semua ini termasuk yang dilaknat Allah dan RasulNya, kerana di dalamnya terkandung penyiksaan dan perubahan bentuk ciptaan Allah tanpa ada suatu sebab yang mengharuskan untuk berbuat demikian, melainkan hanya untuk pemborosan dalam hal-hal yang bersifat show dan lebih mengutamakan pada bentuk, bukan inti; lebih mementingkan jasmani daripada rohani.

Adapun kalau ternyata orang tersebut mempunyai cacat yang kiranya akan dapat menjijikkan pandangan, misalnya kerana ada daging lebih yang dapat menimbulkan sakit secara perasaan ataupun secara kejiwaan kalau daging lebih itu dibiarkan, maka waktu itu tidak berdosa orang untuk berubat selama untuk tujuan demi menghilangkan penyakit yang bersarang dan mengancam hidupnya. Kerana Allah tidak menjadikan agama buat kita ini dengan penuh kesukaran.

Barangkali yang memperkuat permasalahan tersebut di atas, yaitu tentang hadis "dilaknat perempuan-perempuan yang menjarangkan giginya supaya cantik" seperti tersebut di atas. Dari hadis itu pula dapat difahamkan, bahwa yang tercela itu ialah perempuan yang mengerjakan hal tersebut semata-mata untuk tujuan keindahan dan kecantikan yang dusta. Tetapi kalau hal tersebut dilakukan dengan tujuan untuk menghilangkan penyakit atau bahaya yang mengancam, maka sedikitpun tidak ada halangan. Wallahu a'lam!

16 Jun 2011

BAB 27: HOT & COLD - BILIK RAHSIA 2


+ bab 27 +
Bilik rahsia
(bhg 2)

Azzam mengeram kesakitan sambil memegang pinggangnya kerana sakit. Dia terus bangun sambil mengibas-ngibas debu yang melekat pada seluarnya.
Keadaan ketika itu gelap gelita. Azzam tidak dapat melihat keadaan sekelilingnya. Baru sahaja mahu melangkah, tiba-tiba lampu terpasang dengan sendirinya.
          Mata Azzam melilau-lilau melihat sekeliling. Yang berada di hadapannya sekarang ialah sebuah lorong. Azzam cuba mengecilkan matanya untuk melihat apa yang ada di penghujung lorong tersebut. Namun dia tidak dapat melihat dengan jelas.
          Azzam melihat dinding yang ada di belakangnya. “Mungkin ini jalan aku masuk tadi.” Desis Azzam.
          Dia cuba mencari suis untuk membuka dinding tersebut, tetapi dia berhenti. Lorong yang ada di hadapan menarik perhatiannya sebagai seorang detektif. Hatinya meronta-ronta untuk mengetahui apa yang ada di penghujung lorong tersebut.
          Azzam dengan pantas berlari menerusi lorong tersebut. Dia tersenyum apabila terlihat penghujung lorong tersebut. Azzam segera berhenti memandang benda yang ada di hadapannya sekarang.
          “Lukisan?” ujar Azzam, ringkas.
          Azzam tersenyum. Dia dapat rasakan yang bahawa lukisan itu bukan lukisan yang biasa. Azzam meneliti lukisan tersebut dengan berhati-hati. Lukisan tersebut menunjukkan garis-garis tebal yang berwarna-warni. Azzam tidak dapat membezakan mana satu sambungan dan penghujung garisan tersebut.
Tiba-tiba ada sesuatu yang menarik perhatiannya.
          “Lukisan ni—” Azzam memegang permukaan lukisan tersebut.
          “Kenapa garisannya tidak bersambung dengan betul. Melainkan—” Azzam tersenyum. Dia segera menggerakkan setengah daripada lukisan tersebut ke sebelah kirinya.
          Lukisan itu bercantum dengan elok. Tiba-tiba, sebelah kanan lukisan itu terbuka sedikit. Azzam tersenyum. Betul tekaannya tentang lukisan tersebut.
          “Ni mesti pintu lukisan milik ayah.” Desis Azzam di dalam hatinya sambil tersenyum.
          “Seperti tekaan aku. Ini ialah lukisan yang selalu digunakan dalam silap mata. Kalau sekilas pandang, nampak macam lukisan biasa. Tetapi kalau diteliti dengan betul, sebenarnya setengah daripada lukisan ini tidak bersambung dengan garisan yang betul. Kalau digerakkan, pintu akan terbuka dengan sendiri.” Ngomel Azzam seorang diri.
Azzam membuka pintu lukisan tersebut dengan berhati-hati. Dia melihat ke dalam ruang gelap di sebalik pintu tersebut. Dia tidak dapat melihat apa-apa selain kegelapan.
Tanpa berputus asa, Azzam terus melangkah masuk ke dalam. Dia meraba-raba di dinding untuk mencari suis lampu. Azzam segera menekan suis lampu yang dijumpainya. Cahaya lampu tersebut menerangi seluruh bilik.
Azzam melihat keadaan sekeliling. Bilik itu mempunyai peralatan yang lengkap. Peti sejuk dan meja makan ada di satu sisi. Terdapat juga sebuah rak meletak buku. Tetapi rak tersebut dipenuhi dengan fail-fail. Azzam tersenyum apabila melihat televisyen dan alat perakam DVD juga ada.
          Azzam berjalan ke arah meja makan yang berbentuk bulat. Azzam segera mengambil sebuah bingkai gambar yang terletak di atas meja tersebut. Dia tersenyum melihat gambar ayah dan ibunya. Ada lagi satu pasangan yang tidak dikenali oleh Azzam. Azzam meletak gambar tersebut kembali ke tempatnya, lalu berjalan mengelilingi bilik tersebut.
          Azzam melihat-lihat fail yang tersusun kemas di atas rak. Dia mengambil salah satu dari fail-fail tersebut. Dia terkejut apabila melihat isi fail tersebut yang mengandungi maklumat-maklumat tentang White Wing Organization iaitu lelaki berbaju putih.
          “Tak mungkin! Semua maklumat ini lengkap.”
          Azzam cuba melihat fail-fail yang lain. Semuanya mengandungi maklumat yang sama.
          “Semua maklumat tentang mereka ada di sini. Tempat yang mereka selalu beroperasi juga ada.” Ujar Azzam makin teruja.
          “Peluang aku untuk cari Mimi semakin cerah.” Azzam tersenyum gembira.
          “Kenapa lah mak dan ayah tak bagi tahu tentang tempat yang penting macam ni?” rungut Azzam sambil mencari fail-fail yang lain.
          Tiba-tiba ada sebuah pita rakaman terjatuh ke lantai. Azzam segera mengambil pita tersebut sambil meletak fail yang diambilnya ke atas meja tanpa membaca tajuk fail tersebut.
          Azzam yang tertanya-tanya isi kandungan pita rakaman tersebut dengan pantas berjalan ke arah televisyen. Dia segera memasang pita rakaman tersebut. Azzam menekan butang main di alat kawalan jauh.
Pada mulanya, pita rakaman itu tidak menunjukkan apa-apa gambar. Azzam merasa hairan. Tiba-tiba gambar mula muncul dengan perlahan. Azzam bertambah hairan. Dia terus melihat ke arah skrin televisyen tersebut. Tiba-tiba gambar di skrin tersebut bergerak dengan pantas. Azzam terkejut. Dia tidak dapat mengalihkan matanya dari melihat ke arah skrin tersebut.
Azzam menahan sakit apabila merasakan ada sesuatu yang berbentuk serangan di fikirannya. Pandangannya tidak dapat lari dari skrin tersebut. Serangan tersebut sangat berkuasa. Azzam memegang dahinya yang berdenyut-denyut sambil mengetap bibirnya, menahan sakit yang tak terhingga.
Abang bertahan! Jerit Mimi. Dia bercakap dengan Azzam melalui fikirannya. Cuba menambah kekuatan Azzam. Azzam terus menjerit menahan sakit. Dia tidak faham apa yang sedang terjadi padanya sekarang.
Apa sebenarnya yang terjadi, Mimi? Jerit Azzam apabila gelombang yang baru menyelubungi fikirannya. Beberapa saat kemudian ia hilang, tapi hanya untuk digantikan dengan gelombang yang baru. Mimi bersungguh-sungguh untuk mengurangi kesakitan Azzam.
Abang, jangan cuba tahan gelombang tersebut. biar dia masuk ke fikiran abang. Ini untuk kebaikan abang. Saya dah cuba untuk kurangkan kesakitan abang.
Tapi kenapa ia masih sakit?
Sakit tu datang dari abang sendiri. Cuba lalui gelombang tersebut, abang akan faham.
Azzam cuba untuk memberi tumpuan pada gelombang yang ada di dalam fikirannya sekarang. Dia melihat ke arah skrin televisyen tersebut. Satu demi satu memori bermain di fikirannya. Dari mulanya WWO sehingga ketua-ketuanya yang terdahulu. Keluarganya dan ahli-ahli WWO yang lain.
Tiba-tiba dia ternampak seorang lelaki yang memakai jubah menutupi keseluruhan mukanya. Dia ternampak seorang wanita yang sedang memgang bayi di tangannya. Azzam seperti mengenali perempuan tersebut.
Azzam mula faham apa sebenarnya yang terjadi padanya sekarang. Semua maklumat-maklumat tentang WWO mula dipindahkan pada fikirannya. Dimasukkan dalam kotak memorinya.
Azzam mula letih. Seluruh badannya mula berpeluh. Badannya mula panas seperti orang yang terkena demam yang teruk.
Abang bertahan. Sudah hampir tamat. Jelas Mimi yang makin risau akan keadaan abangnya. Dia tidak pasti sama ada Azzam masih dapat bertahan atau tidak. Tiba-tiba gelombang itu perlahan-lahan hilang dari fikiran Azzam. Televisyen tersebut tertutup dengan sendiri.
Azzam melutut keletihan lalu jatuh ke lantai. Sepasang tangan menyambutnya di saat terakhir, lalu menurunkan badan Azzam dengan berhati-hati. Azzam terdengar suara sedang bercakap-cakap di belakangnya, tetapi dia terlalu letih untuk terus berjaga. Azzam terus tidak sedarkan diri kerana keletihan.
Fail yang terletak di atas meja tertutup ditiup angin. Fail yang bertajuk ‘Rahsia Cip’. Adakah ini bermakna sesuatu yang buruk akan terjadi?


Azzam membuka matanya dengan perlahan-lahan. Dia dapat rasakan seseorang sedang memegang tangannya. Azzam terus terjaga. Dia melihat keadaan sekeliling. Semuanya kelihatan putih. Tidak seperti biasa, Azzam tidak terkejut melihat bilik tersebut. Dia sudah tahu di mana dia berada sekarang.
Azzam cuba untuk bangun, tetapi dia terlalu letih. Seperti sudah tidak makan berhari-hari. Azzam memegang erat tangan gadis yang berada di sebelahnya itu. Mimi hanya tersenyum.
“Abang rehat dulu. Nanti Mimi terangkan apa yang terjadi.” Jelas Mimi sambil mengusap kepala abangnya. Azzam hanya tersenyum melihat adiknya itu.
Selepas beberapa minit berehat, Azzam terus menanyakan banyak soalan yang sedang bermain di fikirannya sekarang. Semua perkara yang dia sendiri tidak faham. Mimi cuba sedaya upaya menjawab soalan tersebut.
“Tadi abang telah aktifkan rahsia cip yang ada di dalam badan abang sekarang. Semua maklumat tentang WWO sekarang telah dipindahkan ke dalam memori abang. Tetapi untuk aktifkan cip ini, ia mesti bercampur dengan satu bahan yang hanya terdapat di makmal WWO. Macam mana abang boleh aktifkannya?” tanya Mimi yang sedang dalam kebingungan.
Azzam teringat akan botol kecil yang diberikan oleh seorang nenek ketika di taman tema. Azzam terus memberitahu Mimi tentang air tersebut. Mimi dan Azzam merasa hairan memikirkan siapakah gerangan nenek tersebut.
“Maknanya, selepas ini abang boleh cari Mimi, lah kan? Wah!” Azzam teruja bila memikirkannya.
“Tapi macam mana abang nak ingat pasal memori tadi balik?”
“Abang tak perlu susah payah cari memori tu dekat dalam fikiran abang. Ia dengan sendirinya akan bermain di fikiran abang apabila abang melihat sesuatu perkara yang ada kena mengena dengan WWO.” Jelas Mimi sambil duduk di sebelah abangnya.
“Lagi satu yang abang tak faham. Macam mana tadi dengan tiba-tiba Mimi boleh muncul dekat fikiran abang?”
“Selepas sahaja pertemuan kita semalam. Mimi dah cari jalan macam mana nak bercakap dengan abang tanpa tidur. Rupa-rupanya cip abang bersambung dengan cip milik Mimi. Abang cuma perlu tahu macam mana nak hubungi Mimi dengan cara memikirkan siapa yang abang nak bercakap. Selepas itu, dengan automatik dia akan bersambung. Baru tadi Mimi berjaya hubungi abang selepas sehari suntuk berlatih.” Jelas Mimi panjang lebar.
“Abang boleh hubungi fikiran orang lain juga ke?”
“Yang itu Mimi tak pasti.” Jawab Mimi teragak-agak.
“Tapi selepas ini, abang kena kerap berlatih menggunakan cip abang. Mimi akan bantu abang dengan mengajar benda yang Mimi tahu.”
Azzam terdiam sejak dari tadi. Nampaknya makin dia tahu tentang cip di dalam badannya, makin dia dapat rasakan dirinya dalam bahaya.
Azzam tiba-tiba merasa sakit di dadanya. Dia cuba menahan sakit. Mimi yang melihat merasa hairan.
“Kenapa, abang?” tanya Mimi.
“Dada abang. Rasa—sakit” Azzam memegang dadanya. Ada orang cuba kesan aku ke? Azzam tertanya-tanya.
Mimi terus memegang tangan abangnya sambil memegang belakang Azzam.
“Lebih baik abang sedar sekarang. Abang lebih senang ditumpaskan kalau abang terus tak sedarkan diri macam ni.” Jelas Mimi. Azzam hanya mengangguk lalu terus melelapkan matanya.

WAHILA

08 Jun 2011

BAB 26: HOT & COLD -


+ bab 26+
Bilik rahsia
(bhg 1)


Azzam sedang bermain dengan piano yang terdapat di dalam bilik tidurnya. Dia memainkan irama yang datang dari dalam hatinya sendiri. Dia pandai bermain piano setelah di ajar oleh ibunya sewaktu kecil. Dia juga pandai bermain dengan alat muzik yang lain.
Dia berhenti bermain apabila teringat akan sesuatu. Azzam segera membuka laci mejanya. Dia tersenyum apabila ternampak apa yang dia mahukan. Dia segera mencapai botol kecil itu lalu menutup kembali laci mejanya.
Azzam membelek-belek botol tersebut. Dia membuka penutup botol tersebut. Azzam cuba menghidu bau yang ada di dalam botol tersebut, tetapi tiada bau yang keluar. Tanpa berfikir panjang, dia segera meminum air yang terdapat dalam botol itu.
Tiba-tiba, dia dapat rasakan kesegaran dalam badannya. Fikirannya kosong, seperti tidak diganggu oleh masalah-masalah yang menimpanya sebelum ini. Dia mula merasa mengantuk. Azzam menguap sambil menutup mulut dengan telapak tangannya. Lalu, dia tidur di buai mimpi.

Azzam membukakan matanya. Dia segera bangun apabila melihat keadaan sekelilingnya yang serba putih. Dia mengenali tempat itu.
“Tempat yang sama seperti mimpi aku sebelum ini. Maknanya—”
“Abang.” Panggil Mimi yang kelihatan terkejut melihat Azzam.
Azzam segera berjalan ke arah Mimi. Kini dia yakin mimpi ini buka sebarang mimpi. Dan gadis yang sedang berdiri di hadapannya sememangnya ialah adiknya.
“Mimi.” Azzam menyebut nama adiknya itu. Mimi merasa hairan. Dia tidak pernah melihat Azzam seperti itu. Azzam segera memegang kedua-dua belah tangan Mimi. Mimi bertambah hairan.
Azzam segera menarik tangan adiknya lalu memeluk Mimi. Mimi terkejut. Azzam lega kerana dapat berjumpa dengan adik yang tidak pernah dia sangka pernah wujud sebelum ini.
“Abang?” panggil Mimi yang kehairanan.
“Awak memang adik saya. Abang janji, Mimi. Abang akan cari kamu sampai dapat.” Jelas Azzam sambil mengusap kepala adiknya itu.
Mimi tergamam. Air matanya berlinangan. Dia memeluk Azzam dengan erat. Dia gembira kerana akhirnya dia dapat kasih sayang dari keluarganya sendiri. Azzam hanya tersenyum. Dia sudah bertekad akan melindungi Mimi tidak kira apa yang terjadi.


Azzam segera duduk di atas sofa di bilik bacaan ayahnya sambil memegang sebuah buku. Sejak dia berpindah ke Malaysia kembali, dia tidak pernah menjejakkan kaki ke bilik bacaan.
Tini berjalan-jalan dalam bilik bacaan, melihat koleksi buku-buku yang ada. Hampir kesemua buku-buku yang terdapat di situ susah didapati di pasaran. Encik Hafizi memang minatnya pada waktu lapang ialah mengumpul buku-buku dari serata dunia. Hampir kesemua buku-bukunya mengenai lagenda-lagenda dan mitos-mitos dari negara yang berlainan. 
Azzam teringat akan mimpinya tadi. Sudah lama dia mahu memberitahu Tini tentang hal itu. Tetapi dia merahsiakannya kerana tidak mahu rahsia adiknya terbongkar. Tetapi, sekarang dia ada Tini yang boleh membantunya menyelesaikan masalah.
“Tini. Saya ada sesuatu yang saya mahu beritahu awak.”
“Sesuatu? Apa dia?” tanya Tini.
“Sebenarnya, saya dah tahu kewujudan Mimi sebelum saya tahu kebenaran lagi.” Jelas Azzam. Tini kelihatan tersentak.
“Dia pernah muncul dalam mimpi saya. Dia cuba bagi tahu tentang WWO dan bahaya yang menanti saya. Tapi cuma satu sahaja saya tidak faham. Bagaimana kami boleh berhubung melalui mimpi.”
“Kalau sebelum-sebelum ini, dia yang akan muncul dalam mimpi saya. Tapi semalam, saya yang menghubungnya melalui mimpi.” Jelas Azzam sambil menutup buku yang dibacanya tadi.
 Tini hanya mendiamkan diri. Dia tidak tahu apa yang mahu diucapkan. Dia tidak pernah menyangka perkara ini akan berlaku dengan pantas. Perkara yang akan membuatkan keadaan Azzam lebih bahaya. Sekurang-kurangnya dia tidak tahu kegunaan cipnya itu. Jika tidak pasti—.
“Azzam, awak pernah tak tanya Mimi bagaimana dia boleh menghubungi awak?” Azzam menggelengkan kepalanya.
“Awak tahu tak, Azzam? Disebabkan Mimi dah tahu jalan untuk menghubungi awak, keadaan awak akan lebih bahaya.”
“Lebih bahaya? Apa maksud awak.” Tanya Azzam kehairanan.
“Kalau WWO tahu tentang ini, mereka pasti akan gunakan Mimi sebagai perangkap untuk menangkap awak. Penting untuk awak mengetahui lebih lanjut tentang mereka. Dengan cara ini, awak tidak akan terkena perangkap mereka.” Jelas Tini.
“Dengar sini, Azzam. Awak perlu belajar cara untuk menghubungi adik awak dengan pantas. Dengan cara ini, kita boleh menyelamatkannya sebelum WWO tahu tentang rahsia ini.” Azzam kelihatan sedang memikirkan sesuatu, lalu dia tersenyum seorang diri.
“Baiklah, saya akan dengar apa yang awak cakap. Bermula daripada hari ini, saya akan berlatih untuk menentang WWO. Saya akan cari jalan untuk menghubungi Mimi tanpa tidur.” Jelas Azzam Tini hanya tersenyum. Bodoh, lain kali cakap macam tu selepas kita tahu kegunaan cip yang ada dekat dalam badan kau.
“Kenapa?” tanya Azzam apabila melihat Tini tersenyum seorang diri.
“Tiada apa-apa. Awak nak air? Saya boleh bancuhkan.” Azzam hanya mengangguk. Tini keluar dari bilik bacaan. Azzam terus menyambung bacaannnya tadi.
Tiba-tiba jam dinding berbunyi. Azzam terkejut. Dia memegang dadanya. “Tiba-tiba je berbunyi, nasib baik aku tak ada sakit jantung.” Azzam membebel seorang diri sambil mengusap-ngusap dadanya. Dia melihat ke arah jam tersebut. Ada sesuatu yang pelik tentang jam tersebut.
“Jam ni—” Azzam berjalan lebih dekat untuk kepastian. “Dia berpusing arah yang berlawanan.” Azzam terkejut lalu tersenyum.
“Mesti ada sesuatu. Hah, jantung aku dah mula tak sabar ni.” Azzam cuba untuk mendapatkan jam tersebut, tetapi dia terlalu rendah untuk mencapainya. Azzam cuba memikirkan idea yang lain, dia melihat ke arah kerusi yang berada di sebelahnya sambil tersenyum sinis.
Azzam meletakkan kerusi tersebut berhadapan dengan jam tersebut lalu dengan pantas dia memanjat. Dia segera membuka cermin jam tersebut.
“Kalau jam dah buat perangai pelik macam ni, mesti ada something, ni.” Teka Azzam yang sudah tidak sabar untuk tahu apa yang menyebabkan jam tersebut berpusing arah yang berlainan.
“Selama ni aku tak perasan pun jam ni berpusing arah berlawanan.” Ngomel Azzam seorang diri.
“Kalau aku buat macam ni—” Azzam segera memusing jarum jam tersebut ke arah yang bertentangan.
Klik.
Satu bunyi klik kedengaran dengan perlahan. Tiba-tiba dinding terbuka dengan sendiri, lalu tertutup dengan sendiri. Kerusi jatuh bergolek ke lantai. Azzam hilang dari pandangan.

   
Tini berjalan ke arah bilik bacaan sambil membawa dua gelas fresh oren di tangannya. Tiba-tiba, Mak Cik Rafidah memanggil-manggil namanya.
“Tini, ada kawan datang. Mereka sedang tunggu di ruang tamu.” Ujar Mak Cik Rafidah.
“Mak Cik suruh mereka ke bilik bacaan. Saya dan Azzam tunggu dekat sana.” Jelas Tini. Mak Cik Rafidah hanya mengangguk. Dia segera menuruni tangga dengan pantas. Tini hanya tersenyum melihat sikap Mak Cik Rafidah yang terburu-buru itu.
Tini membuka pintu bilik bacaan lalu segera mengambil gelas yang diletakkan di atas meja di tepinya tadi. Tini merasa hairan apabila melihat Azzam tidak ada di dalam bilik itu.
“Hai, Tini.” Tegur Syazwan. Tini yang terkejut mengusap-ngusap dadanya. Kalau boleh, mahu saja dia membelasah lelaki yang sedang berdiri di hadapannya itu.
“Lain kali, panggillah salam dulu.” Jelas Yuya yang sejak dari tadi tersenyum melihat keletah Tini.
“Ye lah, sorry.”
“Azzam mana?” tanya Yuya sambil menolak lengan Syazwan yang sejak tadi menghalang pandangannya. Syazwan mengusap-ngusap lengannya yang sakit. Dia tidak berkata apa-apa. Tak guna juga dia mencari pasal dengan Yuya. Tak pasal-pasal nanti, dia yang makan penumbuk Yuya.
Tini mengangkat bahunya tanda tidak tahu. Dia segera berjalan masuk ke bilik bacaan untuk mencari Azzam. Dia melihat ke arah sofa tempat Azzam duduk tadi, tetapi hanya buku yang dibacanya tadi sahaja ada di situ.
“Kenapa kerusi ni jatuh. Lepas tu kenapa jam ni dibiarkan penutupnya terbuka. Tak reti nak kemas ke, Azzam ni?” komen Yuya yang memang tidak suka bilik yang berselerak walau hanya sekumit sekalipun. Sikapnya yang pembersih menyebabkan ramai lelaki yang mahu menjadi teman lelakinya. Tetapi Yuya tetap pada yang satu. Kekasih hatinya yang sekarang berada di luar negara.
Tini tertarik dengan kata-kata Yuya tadi. Dia melihat ke arah kerusi tadi lalu mengalihkan pandangannya pada jam yang terletak dia atas kerusi tersebut. Dia tersenyum. Tini seperti dapat mengagak apa sebenarnya yang terjadi.
“Nampaknya, satu cabaran untuk detektif muda kita.” Ujar Tini sambil melihat ke arah dinding yang bertentangan dengannya. Yuya dan Syazwan seperti dapat menangkap apa maksud kata-kata Tini itu. Mereka hanya melihat ke arah dinding tersebut sambil memikirkan bagaimana dengan keadaan Azzam sekarang.

WAHILA